Kehidupan awal كهيدوڤن اول Sultan Iskandar ibni Sultan Ismail

Kerabat diraja Johor dalam majlis hari lahir Dr Heah Hock Chye pada 1956. Tunku Mahmud Iskandar berdiri paling kiri.

Sultan Iskandar (dikenali sebagai Tunku Mahmood Iskandar[γ] sehingga tahun 1981) ialah anakanda ketiga kepada Sultan Ismail ibni Sultan Ibrahim dan Sultanah Ungku Tun Aminah binti Ungku Paduka Bena Sri Maharaja Utama Ahmad, yang diputerakan pada jam 11:30 pagi pada hari Jumaat 8 April 1932 di Istana Semayam, Johor Bahru.[21] (Baginda ada dua kakanda, tetapi kedua-duanya mangkat pada usia bayi.)[22] Tunku Mahmood menerima pendidikan di Sekolah Rendah Ngee Heng Primary School dan Maktab Inggeris (kini Maktab Sultan Abu Bakar) di Johor Bahru. Pada 1952, baginda dihantar ke Australia untuk melanjutkan pelajaran di Trinity Grammar School. Setelah tamat pengajian pada tahun 1953, Tunku Mahmood pergi ke Isle of Wight di United Kingdom untuk memasuki Upper Chime School selama tiga tahun.[23] Setelah selesai menuntut ilmu, Tunku Mahmud kembali ke Tanah Melayu pada tahun 1956 untuk menyertai Perkhidmatan Awam Negeri Johor untuk masa yang singkat.[24] Baginda menjadi pegawai kadet yang bertanggungjawab atas hal ehwal dalam Jabatan Hal Ehwal Daerah, Tanah dan Perbendaharaan sehingga ditabal sebagai Tunku Mahkota Johor pada bulan Mei 1959.[9]